Pada zaman dahulu, ada seorang ahli sihir. Dia sudah tua. Dia bermohon kepada Raja untuk menurunkan ilmunya. Raja menunaikan permintaannya. Baginda memilih seorang remaja yang bernama Ghulam untuk berguru dengan ahli sihir.
Ada seorang pendeta. Rumahnya terletak di antara rumah Ghulam dengan rumah ahli sihir. Setiap pagi Ghulam berguru dahulu dengan pendeta. Selepas itu barulah dia mempelajari ilmu sihir.
Menurut sumber yang saya dapat, pendeta/ rahib itu berada di dalam gua...abaikan lukisan saya yang tak berapa nak betul tu sebab cuma nak menunjukkan kedudukan istana tempat ghulam belajar sihir, tempat tinggal pendeta dan rumah si ghulam sendiri...
setiap hari sebelum pergi belajar sihir, dia akan singgah untuk belajar dengan rahib dan apabila pulang dari belajar sihir, dia akan singgah untuk belajar lagi dengan rahib sebelum pulang ke rumah. Jadi dia selalu pulang lambat ke rumah dan ke tempat belajar sihir..
Oleh sebab dia lambat, ahli sihir memarahi dan memukulnya. Waktu pulang, dia lewat tiba di rumahnya. Ibu bapanya pula memarahi dan memukulnya.
Pendeta memahami masalah Ghulam. Jadi, dia mengajar Gulam berhelah. “Apabila tukang sihir bertanya sebab engkau lambat, katakanlah kamu terlambat bertolak dari rumah. Jikalau engkau lambat sampai di rumah, katakan pula tukang sihir menahanmu.”
Ghulam terus berguru dengan pendeta dan dengan ahli sihir.
Pada suatu hari, seekor binatang buas menghalang perjalanan. Semua orang ketakutan. Ghulam memberanikan diri. Dia mengambil seketul batu dan berseru, “Ya Allah, kalau ajaran pendeta itu benar, bunuhlah binatang ini!”
Dia melemparkan batu kepada binatang itu. Binatang itu mati. Dia dan orang ramai menggunakan jalan itu semula.
Ghulam menceritakan peristiwa itu kepada pendeta. Pendeta berkata, “Wahai anakku, sekarang kamu mencapai darjat yang lebih tinggi daripadaku! Kamu akan menghadapi pelbagai dugaan. Apabila dugaan itu tiba, janganlah kauberitahu bahawa kamu mengenaliku.”
Ghulam semakin besar dan terkenal. Dia berjaya mengubati penyakit kusta dan penyakit-penyakit lain. Apabila mendengar kebolehannya, seorang pembesar yang buta bertemu dengannya lalu berkata, “Sembuhkanlah butaku! Hadiah ini untukmu.”
Ghulam menjawab, “Saya tidak berkuasa menyembuhkan sebarang penyakit. Yang boleh menyembuhkan sesuatu penyakit hanya Allah. Jikalau tuan beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada-Nya. Saya akan memohon agar Allah menyembuhkan penyakit tuan.”
Pembesar buta itu pun beriman. Ghulam berdoa. Akhirnya mata pembesar itu sembuh.
Setelah matanya sembuh, pembesar itu menemui raja. Baginda tercengang lalu bertanya, “Siapakah yang menyembuhkan mata engkau?”
Pembesar itu menjawab, “Tuhan patik.”
Raja berasa hairan dan bertanya “Betakah yang engkau maksudkan?”
Pembesar itu menjawab, “Bukan. Tuhan patik dan Tuhan tuanku ialah Allah!”
Raja membentak, “Wah, engkau mengakui ada Tuhan selain beta! Siapakah yang mengajar kamu?”
Pembesar itu enggan memberitahu orang yang menyebabkannya beriman. Jadi, dia ditangkap dan diseksa. Oleh sebab dia tidak mampu menanggung derita, akhirnya dia memberitahu Raja bahawa orang yang mengajarnya mengesakan Tuhan ialah Ghulam.
Orang-orang Raja menangkap Ghulam. Raja menyoalnya, “Benarkah kamu dapat mencelikkan orang buta?”
Ghulam menjawab, “Tidak benar, tuanku. Patik tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Yang menyembuhkan mereka hanyalah Allah Yang Maha Kuasa.”
Raja bertanya lagi, “Betakah yang engkau maksudkan?”
Ghulam menjawab dengan yakin, “Bukan tuanku, tetapi Allah!”
Raja bertanya lagi, “Engkau mengakui ada Tuhan selain beta?”
Ghulam menjawab dengan tegas, “Tuhan patik dan Tuhan tuanku ialah Allah!”
Orang-orang raja menyeksa Ghulam. Oleh sebab dia tidak tahan menanggung derita, dia memberitahu nama gurunya.
Pendeta pun ditangkap. Pendeta pula diseksa dan dipaksa meninggalkan agamanya. Namun pendeta tetap mempertahankan imannya. Raja memerintahkan orang membunuh pendeta. Akhirnya, matilah pendeta demi mempertahankan imannya.
Seterusnya, Raja memaksa Ghulam meninggalkan agamanya. Oleh sebab Ghulam berkeras, Raja memerintahkan orang membawanya naik ke puncak gunung.
Raja berkata, “Apabila sampai di puncak, paksa dia kembali kepada agama kita. Jikalau dia berdegil, lemparkan dia ke bawah!”
Ghulam dibawa ke puncak gunung. Apabila tiba di sana, dia berdoa, “Ya Allah, peliharalah aku daripada mereka dengan kekuasaan-Mu!”
Tiba-tiba gunung itu bergoncang. Orang-orang Raja berjatuhan bagai batu. Ghulam selamat dan kembali menghadap Raja.
Raja menyoal Ghulam, “Di mana orang-orang yang menghantar engkau ke gunung?”
Ghulam menjawab, “Tuhan memelihara patik dan memusnahkan mereka.”
Raja memerintahkan orang menghantar Ghulam ke tengah laut pula.
Raja memberikan perintah, “Apabila sampai di sana, paksa dia kembali kepada agama kita. Jikalau dia enggan, benamkan dia ke laut!”
Sebaik-baik tiba di tengah laut, sekali lagi Ghulam menadah tangannya ke langit dan berdoa. Maka turunlah ribut. Orang-orang Raja tenggelam bersama-sama sampan mereka. Dia sendiri selamat berenang ke tepi.
Dia kembali menghadap Raja. Dia memberitahu Raja bahawa Tuhan Yang Maha Esa menyelamatkan dirinya. Orang-orang baginda semuanya tenggelam.
Akhirnya Ghulam berkata, “Tuanku hanya dapat membunuh patik dengan satu cara sahaja.”
Kata Raja, “Nyatakanlah cara itu.”.
Ghulam memberikan penjelasan, “Suruh manusia berkumpul di satu tempat. Letakkan patik pada palang kayu. Ambil anak panah patik dan bidik diri patik. Bacalah kalimah ‘Dengan nama Allah, Tuhan Ghulam’dengan suara yang lantang. Lepaskanlah anak panah itu. Dengan cara itu sahaja Tuanku dapat membunuh patik.”
Raja melaksanakan panduan Ghulam. Dengan mengucapkan, “Dengan nama Allah, Tuhan Ghulam,” baginda melepaskan anak panah.
Anak panah mengenai pelipis Ghulam. Dia pun mati.
Tiba-tiba berhamburanlah kalimah “Kami beriman kepada Allah, Tuhan Ghulam!” daripada mulut orang ramai. Suara mereka gegak-gempita.
Seorang pembesar berkata, “Perkara yang tuanku takuti selama ini sudah terjadi. Ghulam mati tetapi rakyat menganut ajarannya!”
Raja sangat murka. Baginda memerintahkan orang menggali parit, menghimpun kayu dalam parit itu dan menyalakan api. Apabila api marak, baginda berkata, “Sesiapa yang percaya kepada Tuhan Ghulam akan dibakar hidup-hidup!”
Orang ramai yang sudah beriman kepada Allah tidak berundur. Mereka rela dihumban ke dalam parit api demi mempertahankan keimanan mereka.
Antara mereka ada seorang ibu. Dia mendukung bayinya. Ketika ditolak ke pinggir parit api, dia berasa takut. Tiba-tiba bayinya berkata, “Teguhkan hatimu, ibuku. Kita dalam agama yang benar!”
Allah ada menceritakan kisah ini di dalam Al-Quran :
وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُوجِ. وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ. وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ. قُتِلَ أَصْحَابُ اْلأُخْدُودِ. النَّارِ ذَاتِ الْوَقُودِ. إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ. وَهُمْ عَلَى مَا يَفْعَلُونَ بِالْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ. وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلاَّ أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ. الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَاللهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ. إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
“Demi langit yang mempunyai gugusan bintang, dan hari yang dijanjikan, dan yang menyaksikan dan yang disaksikan. Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit. Yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar, ketika mereka duduk di sekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin itu melainkan karena orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji, Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” [al-Buruj: 1-10]
apa pengajaran yang kita dilapat daripada kisah ghulam ni???
Di dunia ini (setiap zaman) memang ada raja dan pembesar- pembesarnya yang menyokongnya. Salah seorang daripada pembesar tersebut ialah ahli sihir.
Raja sebagai pemimpin, menteri, Tukang sihir merupakan Orang yang menjadikan raja nampak sangat hebat, berkuasa dan Ahli sihir pada zaman sekarang ialah sains dan teknologi
setelah membaca kisah Ghulam ni sememangnya banyak perkara yang kita boleh belajar dan ambil iktibar seperti si ghulam yang belajar ilmu sihir waktu itu yang kini boleh diibaratkan seperti ilmu dunia zaman sekarang seperti perubatan dan kejuruteraan tetapi dalam masa yang sama dia juga belajar ilmu agama.
maksudnya kat sini walaupun kita adalah seorang pelajar yang belajar bidang kedokteran yang akan menjadi doktor pada suatu hari nanti, kita kena grab peluang dan waktu yang ada untuk belajar ilmu agama, untuk bekalan kita di akhirat kelak...dunia ni sementara sahaja, hanyalah permainan dan sekejap yang kekal selama-lamanya adalah alam akhirat..kalau kita hanya mengejar ilmu dunia semata-mata, lantas bekalan apakah yang kita nak bawak nanti??? T,T
Si Ghulam memberitahu yang dia lambat ke tempat belajar sihir sebab lambat dari rumah keluarga dan lambat pulang kerana lambat dari tempat belajar. dalam konteks ini sebenarnya dia bukannya menipu, tetapi menggunakan tektik putar alam...dia tidak menipu tetapi tidak memberitahu...sememangnya dia dari rumah tetapi dia singgah di suatu tempat untuk belajar, jadi kalau kita tahu yang keburukan yang akan timbul lebih banyak lebih baik kita jangan beritahu..
begitu juga dengan keyakinan masyarakat kampung..berita tentang raja yang mahu membunuh ghulam ni telah tersebar luas lalu, semua orang tahu yang raja telah melakukan pelbagai cara untuk membunuh ghulam namun tidak dapat akhirnya selepas membaca kalimat
"bimillahirabbighulam" dengan nama tuhan ghulam ahirnya ghulam meninggal dunia...akhirnya semua orang kampung masuk Islam dan ini menunjukkan betapa besarnya kekuasaan Allah dan keyakinan orang kampung terhadap agama dan pegangan Ghulam.
semoga kita boleh jadikan kisah Ghulam ni sebagai motivasi untuk kita terus maju...kita boleh jadi seorang doktor yang berjaya namun kita juga mahu jadi seorang hamba Allah yang berjaya dan berbakti kepada orang...sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain...sementara kita merawat pesakit bolehla kita memberi kata-kata nasihat dan doa supaya mereka cepat sembuh...orang ramai biasanya percaya dan yakin dengan doktor jadi kita hendaklah yakinkan mereka bahawa hanya Allah yang berkuasa menyembuhkan segala penyakit sedangkan kita hanya berusaha, wallahu'alam.....